What I see, hear and feel

What I see and did..
The Cliffs of Moher, one of UNESCO's recognised Global Geoparks; a special region with outstanding geology and fascinating local culture.

Saturday, April 16, 2011

Punca-punca pencemaran

Dalam panduan penskoran KKG 2011, terdapat lebih daripada 10 punca pencemaran alam sekitar yang disenaraikan untuk membantu pelajar. Pilih 4 punca yang sesuai berdasarkan pemerhatian anda tentang jenis pencemaran yang terdapat di TBM. Dalam bahagian "Jenis Pencemaran di TBM", anda telah menerangkan satu atau lebih pencemaran di kawasan kajian. Sekarang, nyatakan pula punca pencemaran tersebut yang telah dikenalpasti dan huraikan. Anda tidak perlu tulis huraian panjang-panjang.

Antara satu punca pencemaran alam sekitar yang diberikan ialah 'kenderaan'. Kenderaan yang banyak ialah punca kepada beberapa pencemaran alam sekitar iaitu udara, bunyi dan bau. Terangkan bagaimana ia menyebabkan pencemaran tersebut. Asap kereta mencemarkan udara dan memberikan bau yang menyesakkan hidung. Ia mengandungi gas-gas seperti nitrogen oksida, sulfur oksida, ozon, karbon monoksida yang boleh membahayakan kesihatan manusia. Bunyi injin kereta di jalan raya yang sibuk pula mengganggu ketenteraman penduduk.

Sokong huraian anda dengan menyampaikan maklumat tentang bilangan kenderaan mengikut jenis dalam bentuk jadual dan graf bar atau carta pai. Borang pemerhatian yang menunjukkan kekerapan jenis kenderaan di letakkan di bahagian lampiran

Anda dapati melalui pemerhatian dan soal selidik bahawa terdapat kesan pembakaran terbuka di beberapa lokasi di kawasan kajian anda seperti di kawasan kediaman atau di kawasan terbiar. Apakah yang dibakar? Terangkan sedikit bagaimana pembakaran terbuka ini mencemarkan alam sekitar. Fikirkan asap dan bau.

Apabila anda melalui kawasan kedai, kilang dan perumahan, anda mungkin terhidu bau busuk. Anda berfikir " ahha..pencemaran bau!" Anda cari puncanya. Waah..sampah sarap berlonggok di suatu sudut atau menyumbat longkang. Sampah sarap apakah itu? Beg-beg plastik yang isinya terkeluar dan berselerakan. Nampaknya, macam digigit anjing. Andapun mengambil gambar dan ia nampak sungguh menjijikkan.

Selain daripada itu, aktiviti perniagaan juga mungkin punca pencemaran alam sekitar di kawasan TBM. Ada pelbagai jenis perniagaan seperti kedai atau gerai makan, bengkel membaiki kereta, kedai dobi, pasar basah dan sebagainya yang boleh menyebabkan masalah alam sekitar ini. Huraikan bagaimana.

Punca-punca lain seperti perkilangan, sisa domestik, sisa toksik, pembinaan atau petempatan juga boleh menghasilkan pencemaran alam sekitar di kawasan kajian. Ini hanya dapat diketahui sekiranya anda menjalankan pemerhatian dan soal selidik terhadap penduduk TBM.

Tahun lepas, pembinaan blok baru di SMKTBM telah menimbulkan ketidakselesaan pada warga sekolah kerana bunyi bising dan habuk dan debu yang berterbangan, kan? Jadi, adakah aktiviti sebegini dijalankan di lokasi lain di kawasan TBM? Aktiviti kecilan seperti pengubahsuaian rumah juga boleh menimbulkan gangguan kepada jiran-jiran jika terjadi berterusan.

Anda tahu apa itu loji rawatan kumbahan, kan? Loji ini menimbulkan bau dan pandangan yang tidak menyenangkan. Loji ini merawat air sisa domestik dari tandas, bilik air dan dapur rumah kita. Pendek kata, air sisa domestik dari semua bangunan di sesuatu kawasan petempatan.

Satu lagi punca pencemaran ialah faktor petempatan. TBM merupakan petempatan bandar yang padat, yang penduduknya mempunyai kuasa membeli yang tinggi dan kehidupan yang selesa. Kehidupan moden menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Peralatan seperti peti ais, bahan penyembur aerosol serta alat pendingin hawa di rumah dan kenderaan mengeluarkan CFC yang mencemarkan udara.

Anda boleh rumuskan punca-punca pencemaran alam sekitar di kawasan kajian dengan melukis peta minda. Analisalah hasil soal selidik anda terhadap 20 orang responden atau lebih. Selain daripada ini, anda juga boleh membina jadual dan melukis graf bar tentang punca pencemaran di TBM. Tentang aspek grafik ni, pelajar dikehendakki menyediakan sekurang-kurangnya 2 bahan grafik sahaja di mana-mana bahagian dapatan kajian. Kalau ada graf @ carta pai, wajib ada jadual. Kalau ada jadual sahaja,  tanpa graf atau carta pai, boleh.

Akhir sekali sebagai penutup, nyatakan nilai atau unsur patriotisme yang sesuai diterapkan dalam bahagian ini. Nilai atau unsur patriotisme yang boleh diterapkan dalam diri anda dan penduduk di kawasan kajian adalah seperti bertanggung-jawab, mencintai alam sekitar, bersyukur, bekerjasama, menghormati alam, rendah diri dan kesederhanaan. Kalau anda nyatakan satu nilai atau unsur patriotisme pun sudah cukup. Kalau tak nyatakan nilai, tak dapatlah markah penuh,ok?

No comments:

Post a Comment